Banding Beza Prinsip-prinsip Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Dengan Aqidah Yang Menyeleweng Dalam Aspek Definisi Iman, Sumber Aqidah, Pendekatan Ilmu Aqidah, Perkara Ilahiyyat, Nubuwwat dan Ghaibiyyat


Menurut Muhammad (2007), Iman adalah ucapan dan perbuatan. Ucapan hati dan lisan, dan amal hati, lisan dan anggota tubuh, iman itu bertambah dengan taat dan berkurang dengan maksiat.  Seperti yang telah ditakrifkan oleh Muhammad, Iman terdiri daripada tiga aspek utama iaitu membenarkan dengan hati (al-tasdiq bi al-qalb), berikrar dengan lisan (al-iqrar bi al-lisan), dan membuktikannya dengan anggota badan (al-‘amal bi al-jawarih) namun terdapat pendapat lain yang menyatakan bahawa aspek ketiga iaitu al-‘amal dengan istilah al-‘amal bi al-arkan yang bermaksud melaksanakan rukun-rukun Islam.  Daripada bacaan penulis, konsep dapat difaham dengan dua keadaan menurut fahaman dan pegang mazhab atau aliran masing-masing iaitu terdapat mazhab yang menerima ketiga-tiga aspek secara mantap dalam mendefinisikan Iman itu dengan mengatakan seseorang itu dikatakan beriman dengan al-tasdiq bi al-qalb, al-iqrar bi al-lisan, al-‘amal bi al-jawarih atau al-‘amal bi al-arkan.  Aliran lain ada juga yang hanya menekankan aspek pertama iaitu membenarkan dengan hati sahaja kerana aspek kedua dan ketiga dianggap sekadar cabang-cabang iman oleh aliran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah.  Pendapat kedua ini adalah golongan yang berpegang bahawa erti iman itu sebagai ma’rifah dan tasdiq seperti aliran Murjiah.  

Dalam Aspek Definisi Iman

Perbezaan dan persamaan pendapat dalam konsep Iman berkaitan ketiga-tiga aspek tersebut.  Aliran Khawarij antara mengatakan pengertian Iman itu iala, beriktikad dalam hati dan berikrar dengan lidah serta menjauhkan diri dari segala dosa.  Pengertian yang diberikan oleh Khawarij ini, terdapat persamaan dengan golongan Mu’tazilah pada al-tasdiq bi al-qalb dan al-iqrar bi al-lisan, tetapi berbeza pada aspek  yang ketiga di dalam hal menjauhkan diri dari segala dosa iaitu dosa besar dan dosa kecil manakala bagi golongan Mu’tazilah pula hanya perlu menjauhkan diri daripada dosa besar sahaja.  Manakala bagi golongan Murjiah pula, menurut al-Bazdawi majoriti daripada mereka berpendapat  Iman itu hanya ma’rifatul yakni mengenal Allah semata-mata dan tidak perlu membenarkan di dalam hati, diikrarkan dengan lisan dan dibuktikan dengan amalan.  Hal ini bercanggahan dengan Ulama akidah Ahli al-Sunnah Wal-Jamaah berpendapat, iman merupakan istilah yang mengandungi tiga unsur iaitu ikrar (ucapan) dengan lisan, tasdiq (membenarkan) dengan hati dan amal (melaksanakan) dengan anggot (Mohd shah, 2014).  Terdapat persaman antara konsep Murjiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menekankan  hati bagi Iman sebagai pengakuan seseorang namun golongan  Murjiah menggunakan perkataan ma’rifah, sementara Ahli Sunnah Wal Jamaah menggunakan al-tasdiq.

Dalam Aspek Sumber Aqidah

Sumber aqidah islam adalah Al-Quran dan al-hadith. Apa saja yang disampaikan oleh Allah swt dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah saw dalam sunnah-nya wajib diyakini dan diamalkan oleh orang islam.  Al-Quran merupakan kitab suci yang diwahyukan Allah swt  kepada Nabi Muhammad melalui Malaikat Jibril dan ia merupakan mukjizat sebagai rahmat dan petunjuk kepada umat manusia dalam kehidupannya.  Kandungan dan maksud di dalam Al-quran merupakan kenyataan yang kekal dan abadi tanpa berlaku perubahan merupakan sebab kitab ini menjadi sumber utama dalam aqidah  (Dr. Abdullah, 2003).  Rasulullah telah menyebut di dalam sebuah Hadis:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا لَنْ تَصِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللهِ و سُنَّةَ و رَسُوْلِهِ
“Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara, jika kalian berpegang teguh dengan keduanya kalian tidak akan sesat selamanya, yaitu kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya”
.
Terdapat juga golongan yang mengiktiraf akal dan pancaindera sebagai sumber ilmu yang diiktiraf menurut Mohd Aizam (2013) menurut Imam al-Taftazani sumber-sumber ilmu ada tiga iaitu al-khabar al-sadiq (perkhabaran yang benar iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah), al-’aql (akal) dan al-hawas (pancaindera).  Bagaimanapun keupayaan akal dan pancaindera dalam mensabitkan aqidah adalah tertakluk kepada kemampuannya selagi mana tidak bercanggah dengan nas-nas al-Qur’an dan hadith Rasulullah SAW yang sahih. Oleh itu, ahli sunnah wal jamaah mengambil sumber aqidah itu adalah al-quran dan al-hadith dengan di sokong penghayatan akal tanpa mengabaikan nas al-quran.  Muktizalah merupakan contoh aliran yang melampau dalam menggunakan akal sehingga mengenepikan nusus al-quran dan al-hadith.

Usaha yang mudah perlu dilakukan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat bukan islam dan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat islam itu sendiri maka menyatukan antara aqli dan naqli itu akan menjadi mudah tetapi jika timbul sesuatu isu aqidah nusus al-quran dan al-hadith hendaklah diutamakan daripada akal dan pancaindera.  Dalam menentukan masalah agama, masalah aqliyyah dan masalah sam’iyyat tidak boleh dicampur aduk dan perlu dikembalikan kepada sumbernya.  Islam tidak membenarkan golongan yang melampau dalam penggunaan akal dan tidak juga membenarkan memandang rendah terhadap kemampuan akal manusia yang telah dikurniakan oleh Allah. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah mengatakan, “Akal merupakan syarat untuk memahami ilmu memahami ilmu dan kesempurnaan alam amal, dengan keduanyalah ilmu dan amal menjadi sempurna. Hanya saja, ia tidak dapat berdiri sendiri. Di dalam jiwa, ia berfungsi sebagai sumber kekuatan, sama seperti kekuatan penglihatan pada mata yang jika mendapatkan cahaya iman dan al-Qur’an, ia seperti mendapatkan cahaya matahari dan api. Akan tetapi, jika ia berdiri sendiri, ia akan mampu melihat (hakikat) sesuatu dan jika sama sekali dihilangkan, ia akan menjadi sesuatu yang berunsur “kebinatangan” (Mohd Aizam, 2013).  Oleh itu, umat islam hendak berpegang teguh dengan kitab suci al-quran dan al-hadith tetapi dalam masa yang sama tdak mengabaikan fungsi akal dan pancaindera dalam menyokong kebenaran wahyu.

Dalam Aspek Pemdekatam Aqidah

Pendekatan ilmu aqidah yang digunakan mestilah diambil berat akan penguasaan ilmu, keterbukaan dan memahami reality (waqi’) seseorang kerana penguasaan ilmu yang baik pada diri seseorang akan mengurangkan konflk dan salah faham mengenai sesuatu perkara begitu jugak keterbukaan akan mengelakkan manusia menjadi taksub dan kurang adab sehingga boleh dianggap bid’ah.  Keperluan memahami realiti juga penting agar setiap pendekatan yang diketengahkan sesuai dengan masyarakat sekeliling.  Sebagai contoh mengutamakan pengajaran aqidah yang bersifat mesra tempatan dan sesuai dengan latar belakang masyarakat seperti umat islam di Malaysia memegang aqidah berdasarkan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah.  Selain itu, pendekatan yang diambil mestilah diterangkan secara jelas mengenai perkara-perkara yang menyalahi usul aqidah serta tidak bersifat mengkafirkan, membid’ahkan atau menfasiqkan orang lain atas perkara-perkara yang menjadi khilaf dalam kalangan ahli sunnah wal jamaah contohnya cubaan memperlekehkan pendekatan sifat 20 yang berteraskan aliran mazhab al-Asya’irah.  Pendekatan yang diambil dengan mengajarkan sifat 20 adalah satu pendekatan yang diambil bagi memudahkan orang awam untuk memahami persoalan tauhid agar kehidupan manusia selaras dengan kefahaman aqidah yang sebenar.  Oleh itu, amat rugi jika masyarakat pada hari ini masih kolot dan bertikam lidah mengenai perkara ini kerana ia merupakan pendekatan positif untuk umat manusia. 

Dalam Aspek Perkara Illahiyyat

Rukun Iman yang pertama adalah beriman atau kepercayaan kepada Allah S.W.T ia merupakan perkara illahiyat di dalam Aqidah.  Umat Islam wajib percaya akan kewujudan Allah yang Maha Esa dan manusia  boleh berfikir akan kejadian Allah tetapi sekadar mempelajari  zat, sifat dan af’al Allah SWT sahaja tanpa perlu memikirkannya kerana perkara  tidak akan tercapai di akal manusia.   Aliran Ahli sunnah wal jamaah tidak terlalu melampau  dan tidak terlalu longgar tetapi berada di tengah-tengah.   Golongan melampau mengatakan mereka mengenal zat Allah secara hakikat manakala golongan atheist pulak tidak percaya akan kewujudan Allah daripada perkataan atheist itu sendiri ‘a’ bermaksud absence dan ‘theist’ bermaksud god.  Allah itu mempunyai zat yang maha sempurna yang tidak ada apa-apa kekurangan serta tidak menyerupai apapun  yang telah dicipta olehNya.   Dari sudut sifat-sifat Allah pula, ada golongan yang menyamakan sifat Allah dengan makhluk dan mentajsimkan Allah seperti mengatakan  Allah itu mempunyai tangan yang sama dengan makhluk ciptaanNya iaitu manusia.  Manakala, ada juga golongan yang menafikan dan menyelewengkan maksud sifat-sifat Allah.   Seterusnya,  mazhab jabariyyah menyandarkan semua perbuatan kepada Allah dan tiada daya upaya kecuali dipaksakan oleh Allah manakala mazhab qadariyyah pula menafikan perbuatan Allah sehingga menolak kekuasaan Allah dan campur tangan Allah dalam amal perbuatan manusia (Mohd Aizam, 2013) hal ini bercanggah dengan golongan ahli sunnah wal jamaah yang menetapkan bahawa Allah swt adalah pencipta kepada perbuatan manusia secara hakiki sebagaimana firman Allah swt di dalm surah al-saffaat ayat ke 96 mafhumnya adalah “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!”

Dalam Aspek Perkara Nubuwwat

Nubuwwat pula adalah perkara berkaitan dengan kepercayaan kepada Para Nabi dan Rasul yang telah diutuskan oleh Allah SWT.  Menurut Haji Osamn ( 2003), para Rasul ialah orang yang telah dipilih oleh Allah untuk menyampaikan apa yang wajib dilakukan kerana perintah Allah dan apa yang wajib dijauhi kerana telah menjadi pantang larangNya.  Namun terdapat  golongan yang terlalu mendewakan baginda Rasulullah saw da nada juga golongan yang mendustakan para nabi dengan melemparkan pelbagai tuduhan.  Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil pendekatan untuk meneruskan sunnah baginda dan menegakkan risalah yang telah ditinggalkan oleh baginda rasulullah berbanding sekadar mengagung-agungkan jasad dan keturunan baginda kerana terdapat segelintir golongan yang mengaku menintai baginda tetapi kecintaan itu tidak seimbang antara cinta kpada jasad baginda dan cinta kepada sunnah baginda sebagai contoh menghadiri majlis malam cinta rasul yang dihiasi alunan qasidah atau nasyid yang memuji baginda tetapi sanggup meninggalkan solat yang telah difardhukan keatasnya.  Hal ini bersalah dengan batas-batas hukum di dalam risalah yang ditinggalkan oleh baginda.  Allah swt berfirman:

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Terjemahan: Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.

Dalam Aspek Ghaibiyyat                 
Allah bukan sahaja mencipta alam dunia tetapi Dia juga mencipta alam akhirat yang membawa hikmat kepada umat manusia bahawa Allah itu benar-benar Maha Adil (Haji Osman, 2003).  Justeru, orang islam wajib mempercayai perkara-perkara ghaib yang diwahyukan oleh Allah swt di dalam kitab suci Al-quran dan as-sunnah tanpa sebarang tokok tambah dan takwilan yang batil.  Perkara sam’iyyat atau ghaibiyyat antaranya seperti beriman kepada hari akhirat, alam barzakh, titian sirath, malaikat dan sebagainya.  Dalam perkara ini, manusia tidak boleh keterlaluan mencari dan membongkar hakikat contohnya manusia meminta pertolongan daripada makhluk halus untuk memenuhi keperluannya dengan menganggap makhluk tersebut mengetahui perkara-perkara ghaib sedangkan Allah menegah jin daripada mengetahui perkara yang ghaib.  Kepercayaan sebegini akan membawa kepada berlakunya penyelewengan aqidah.  Walaubagaimana pun, manusia juga tidak boleh menolak sepenuhnya akan wujudnya perkara-perkara ghaib walaupun ia tidak boleh dilihat, disentuh, dihidu, dirasa dan didengar. Oleh itu, pendekatan yang diambil oleh ahli sunnah wal jamaah merupakan jalan terbaik dengan meyakini perkara-perkara sam’iyyat dan ghaibiyyat yang telah disebutkan oleh Allah di dalam Al-quran dan as-sunnah.

Kesimpulan, umat islam tidak boleh terlalu menerima dan menolak sesuatu manhaj aqidah tetapi hendaklah mengambil jalan tengah berasarkan batas-batas hukum yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-quran dan as-sunnah baginda rasulullah saw.  Perkara-perkara khilafiyyah sudah lama menjadi perbahasan dan perbalahan maka rugilah bagi mereka yang masih berselisihan faham dan beruntunglah bagi mereka yang menerima perbezaan yang sebenarnya mempunyai maqasid yang sama dalam menegakkan agama islam yang suci dan meneruskan perjuangan baginda rasulullah.  Al-quran dan As-sunnah merupakan sumber yang terpelihari kandungan dan maksudnya maka ia amatlah sesuai untuk dijadikan sebagai pedoman hidup buat umat manusia sehingga ke hari akhirat kelak.

oleh, 
Nur Izni Farisya Binti Mohmad Yusof.
PIMK 3043



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

USAHA-USAHA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) DALAM MEREALISASIKAN MATLAMAT YANG TERKANDUNG DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FKP)

Sedetik Lebih . . .