Sahabat Baru :)

Khamis, 2 Julai 2015

USAHA-USAHA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) DALAM MEREALISASIKAN MATLAMAT YANG TERKANDUNG DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FKP)

Pendidikan Suatu Usaha Berterusan- Program Khas Pensiswazah Guru (PKPG)
   Pendidikan merupakan satu proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai-nilai murni serta mendapatkan kemahiran. Proses ini berjalan secara berterusan dalam diri individu sejak lahir lagi. Pendidikan asas kanak-kanak bermula dari rumah dan dari rumah jugalah sahsiah mereka mula terbentuk dan berterusan. (Kamarudin Hj Husin & Kamarul Azhar, 1994). Pendidikan boleh dipecahkan kepada dua iaitu Pendidikan Tidak Formal dan Pedidikan Formal. Pendidikan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malayisa (KPM) adalah sistem pendidikan formal iaitu satu pendidikan yang mempunyai sukatan pelajaran, kelas atau sekolah, mempunyai ujian dan peperiksaan serta lain-lain lagi. Kebiasaannya pendidikan ini bermula seawal usia lima hingga tujuh belas tahun. Hal ini boleh kita lihat dari Tadika sehingga Tingkatan Lima nanti.
   Pembelajaran yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sebenarnya bukan berhenti di sekolah malahan ianya berterusan sehinggalah keperingkat yang lebih tinggi dan seterusnya sepanjang hayat. Terdapat banyak program-program yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi mewujudkan budaya belajar sepanjang hayat.  Antaranya ialah Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) yang merupakan program khas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang telah dilaksanakan mulai tahun 1999 dan telah ditamatkan ambilannya pada tahun 2006.  Program ini melibatkan kerjasama IPTA dengan IPG.  Program ini sebenarnya menggalakan golongan guru untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi bagi memberi peluang kepada golongan ini meneruskan lagi pembelajaran.  Selain itu, program ini telah memberikan kesedaran kepada guru supaya mereka bukan setakat mempunyai diploma sahaja, malah mereka digalakan untuk belajar ke peringkat yang paling tinggi.
   Pada hemat penulis, Program Khas Pensiswazah Guru (PKPG) ini sebenarnya memberi suntikan semangat yang baru kepada guru untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam membantu seseorang guru itu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan. Perubahan dan perkembangan dunia hari ini  dalam pelbagai disiplin memerlukan setiap individu itu sentiasa berpandangan jauh ke hadapan.  Sektor pendidikan di negara kita sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke–21.  Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (centre for academic excellence) di rantau Asia dan di peringkat antarabangsa memerlukan negara meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperoleh status “World Class Education”. Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredibiliti yang diakui dan diterima diperingkat antarabangsa.
   Perubahan yang pantas memerlukan individu yang sentiasa belajar bagi meningkatkan kebolehan, keupayaan dan sikap.  Melalui Program ini, guru akan dapat melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi kanak–kanak, ilmu kaedah mengajar, ilmu mengenai kurikulum dan sebagainya. Pembelajaran berterusan adalah penting untuk seseorang itu menjadi lebih profesional dan sentiasa relevan mengikut perubahan semasa kerana suatu kemahiran memerlukan pengetahuan. Konsep pembelajaran sepanjang hayat juga dibincangkan oleh Basil Yeaxlee dan Edward Lindman (1926) yang menegaskan bahawa pendidikan merupakan aspek yang berterusan dalam kehidupan manusia.  Setiap guru perlu mempunyai semangat dan cita – cita yang kuat untuk meneruskan kehidupan dengan menambahkan ilmu pengetahuan.  Setiap guru juga perlu mengemaskini ilmu dan kemahiran dalam memastikan perkembangan dan peningkatan profesionalisme guru yang sejajar dengan perubahan cabaran yang dihadapi dari masa ke masa.  Memetik kata–kata Pat Basset, Presiden National  Assosiation of Independent  School (2009) bahawa terdapat satu korelasi yang kuat secara langsung antara perkembangan profesional guru terhadap pencapaian murid. Jelaslah bahawa PKPG ini dapat membantu merealisasikan elemen yang ingin menjadikan pendidikan itu sebagai satu usaha yang berterusan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana perubahan yang berlaku dalam era globalisasi kini  menuntut setiap guru untuk menguasai  ilmu dalam menghadapi kerjaya sebagai seorang guru yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Perkembangkan Potensi Individu- Penglibatan dalam kegiatan Sukan, Kelab dan Persatuan.
   Seterusnya, usaha yang dilakukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memperkembangkan Potensi Individu ialah mewujudkan aktiviti kokurikulum dan aktiviti luar.  Penglibatan pelajar dalam kegiatan sukan, kelab, persatuan dan pakaian seragam yang dilaksanakan di setiap sekolah selepas proses pembelajaran merupakan contoh program yang telah dilaksanakan.  Program sebegitu telah menggalakkan pelajar untuk melakukan sesuatu aktiviti secara berkumpulan. Sebenarnya, mungkin juga ada dalam kalangan mereka ini yang mempunyai bakat dalam menjadi pemimpin maka daripada penglibatan itu juga mereka akan bekerja dalam satu kumpulan dan dapat melatih setiap daripada mereka untuk menjadi ketua serta menjadi pengikut kepada ketua itu sendiri.  Usaha ini wajar diteruskan kerana ia berupaya mendedahkan pelajar tersebut agar dapat menampilkan diri mereka yang sebenar suatu hari nanti kerana sepeti yang diperkatakan oleh Ee Ah Meng 1988, Setiap individu memiliki keupayaan dan bakat yang tersendiri.  Keupayaan dan bakat itu pula dapat diperkembangkan menerusi aktiviti sosial.  Namun begitu tidak semua kebolehan itu dapat dilihat dengan jelas kerana pendedahan untuk memperkembang dan mempertingkatkanya agak terhad.  Oleh itu, pendidikan memainkan peranan penting dalam memperkembangkan potensi individu dan ia perlu diracangkan terlebih dahulu dan dilaksanakan dengan teratur dan bersungguh-sungguh bagi menunjukkan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam.

   Pada pandangan penulis, seseorang pelajar dapat mengembangkan diri mereka dalam pelbagai bidang dengan melibatkan diri dalam kegiatan yang telah diusahakan oleh Kementerian Pelajaran (KPM) itu.  Sebagai contohnya, daripada pengalaman penulis sendiri yang pernah melibatkan diri dalam pertandingan debat yang pernah dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu di sekolah telah mampu membantu penulis mencungkil bakat yang terpendam sehingga mampu menjadi wakil negeri dan sudah semestinya dapat meningkatkan serta mengharumkan nama sekolah.  Selain itu juga, kemahiran berkomunikasi dengan baik juga dapat dipelajari melalui penyertaan dalam pertandingan sebegitu.  Hal ini membuktikan bahawa penglibatan pelajar dalam sukan, kelab dan persatuan sebenarnya dapat merealisasikan elemen yang terkandung dalam Falsafah pendidikan Kebangssan (FPK) yang ingin mengembangkan potensi setiap individu yang telah diberikan Tuhan. 
   Tambah lagi, sebuah sekolah yang berunsurkan kesenian iaitu Sekolah Seni Kuching contohnya.  Di sekolah ini, aktiviti berbentuk kesenian sangat dititikberatkan.  Pelajar-pelajar belajar seperti biasa pada sebelah pagi.  Di sebelah petang pula, pelajar akan dibahagikan beberapa aktiviti yang telah mereka pilih mengikut minat mereka.  Antaranya mereka akan masuk kelas teater, kelas tarian masyarakat, kelas muzik tradisonal, kelas syair dan puisi, kelas pantun dan lain-lain lagi.  Semasa kegiatan ini dijalankan, mereka akan diasah mengikut kebolehan mereka dengan bimbingan beberapa guru nanti.  Dengan demikian, pelajar tadi akan menjadi semakin mahir dalam minat yang telah mereka pilih tadi.  Ini akan memberikan satu impak yang sangat berguna kepada pelajar di sekolah ini apabila mereka tamat persekolahan nanti.  Tegasnya di sini, usaha seperti ini sangat penting untuk memperkembang potensi individu demi melahirkan pelajar yang sentiasa ingin mencari kelebihan mereka.

Insan Yang Seimbang dan Harmonis (dari Segi Rohani dan Emosi)- Program J-QAF dan Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)
   Selain itu, Pendidikan di Malaysia suatu usaha berterusan ke arah melahirkan insan atau individu yang seimbang dari aspek Intelek, Rohani, Emosi dan Jasmani dan Sosial atau lebih dikenali sebagai “JERIS”.  Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.  Dari segi rohani adalah merujuk kepada pembentukan dan pembinaan watak dan jati diri manusia.  Sistem pendidikan melahirkan watak dan jati diri yang sesuai dengan agama, adat dan sosio-budaya Malaysia, sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara. Unsur rohani ini diselitkan agar setiap individu menyedari dan percaya kepada Tuhan, sentiasa bersyukur dengan pemberian Tuhan serta berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni.  Jika penerapan nilai-nilai moral tidak ada dalam diri individu, maka keperibadian yang mulia tidak dapat dilahirkan.  Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memantapkan matapelajaran agama Islam di sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan program Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (J-QAF) yang merupakan satu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan fardhu Ain yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah.  Bagi pelajar yang bukan Islam pendidikan moral sudah cukup tetapi amali haruslah diutamakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar ianya dapat dipraktikan di luar. 
   Pada pendapat penulis, program J-Qaf ini sebenarnya telah mampu melahirkan pelajar yang mampu menguasai kemahiran-kemaharin tententu seperti menulis dalam tulisan jawi, khatam al-Quran dalam tempoh enam bulan, penglibatan dalam kem bestari solat, menguasai Bahasa Arab Komunikasi dan lain-lain. Sebagai contoh, Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, “MUNGKIN anda pernah menyaksikan sekumpulan murid sekolah rendah menghadiri majlis khatam al-Quran beramai-ramai walaupun usia mereka tidak melebihi 12 tahun atau melihat murid sekolah yang sedang mengerjakan solat sunat dhuha atau solat sunat hajat. Mereka juga mahir membaca doa selepas solat atau menghuraikan hukum sesuatu perbuatan menurut syariat agama.  Semua ini adalah sebahagian hasil kejayaan program J-Qaf yang dilaksanakan di sekolah rendah sejak 2005.”.  Hal ini jelas menyatakan bahawa, melalui penglibatan pelajar dalam Kem Bestari Solat yang dilaksanakan dalam program J-Qaf ini contohnya mampu melahirkan pelajar yang berkemampuan untuk menjadi imam dalam solat, membaca al-Quran dengan lancar dan memahami asas agama dengan baik.

   Manakala, dari unsur emosi juga perlu dititiberatkan dalam usaha melahirkan insan atau individu yang stabil emosi.  Unsur emosi ini disertakan bagi menjamin emosi dan matang dan stabil, memiliki perasaan kasih sayang dan mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan yang dapat menjamin kestabilan individu yang membawa kepada kestabilan negara.  Usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan menubuhkan Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) juga di setiap sekolah di mana ahlinya dipilih dari kalangan pelajar-pelajar untuk membantu pelajar-pelajar yang mempunyai konflik emosi dalam diri mereka.  Ahli PRS ini diberi pendedahan yang khas untuk membantu rakan-rakan mereka.  Usaha ini wajar diteruskan agar dapat terus membantu rakan sebaya yang mempunyai konflik emosi kerana sesetengah pelajar mungkin malu untuk meluahkan konflik emosi mereka kepada guru kaunseling.  Penjagaan emosi adalah penting kerana masalah emosi bukan sahaja boleh menjejaskan mental malah juga fizikal. 
   Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa para pelajar pada masa kini akan mudah rasa tertekan dengan sesuatu keadaan atau masalah yang menimpa mereka.  Sebagai contoh, masalah keluarga yang menjadi punca kegagalan mereka menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.  Dengan kewujudan Persatuan Pembimbing Raya Sebaya (PRS) ini dapat melatih seseorang pelajar itu memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang dan mempunya sifat kekitaan dan perpaduan dalam membantu rakannya yang menghadapi masalah.  Selain itu, Persatuan ini juga turut memainkan peranan dalam memberi semangat dan motivasi kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam.  Program motivasi biasanya diadakan untuk meningkatkan keyakinan para pelajar untuk mencapai kejayaan dan memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kelas.  Jelaslah, penubuhan PRS ini menyumbang kepada pencapaian matlamat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ingin melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.

Rakyat Malaysia yang Berilmu Pengetahuan- Program NILAM
   Tambah lagi, Membentuk rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan adalah elemen yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).  Elemen ini menyarankan cintakan ilmu pengetahuan, berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca serta mempunyai fikiran yang luas dan terbuka untuk manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.  Rakyat Malaysia pada hari ini kurang membaca buku-buku ilmiah malah lebih memilih buku-buku berbentuk hiburan seperti majalah mangga, komik kartun dan sebagainya sebagai bahan bacaan diwaktu lapang. Hal ini amat membimbangkan pihak kerajaan dalam merealisasikan apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).  Sehubugan dengan itu, Program ‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membina tabiat membaca di kalangan murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca dan budaya ilmu.  Program ini merangkumi rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah.   Ia merupakan program penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun.  Program ini telah mula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun 1999 dan penilaian pembacaan mereka diteruskan sehinggalah mereka tamat persekolahan.
   Pada hemat penulis, melalui program Nilam, masyarakat yang minat membaca telah berjaya diwujudkan di Negara Malaysia ini.  Para pelajar yang mengikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca ini akan mempunyai fikiran yang luas dan lebih terbuka.  Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak.  Melalui program ini , para pelajar perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam Buku Nilam. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang secara tidak langsung mampu memupuk budaya ilmu dan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.  Seterusnya, amalan membaca akan mula menjadi hobi para pelajar pada waktu senggang.  Aktiviti ini jauh lebih baik daripada membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja, sebalinya jika diisi dengan membaca ia mampu membantu mencapai target FPK untuk melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan.  Marcus Aurelis pernah berkata, “jangan membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang baik, sebaliknya mulakan dengan diri sendiri dahulu”.  Di sini jelaslah bahawa pelajar itu sendiri perlu menggalakkan dirinya agar melakukan sesuatu yang baik seperti membaca ketika waktu senggang.

Rakyat Malaysia Yang Dapat Memberi Sumbangan Terhadap Keharmonian dan Kemakmuran Masyarakat dan Negara- Sekolah Wawasan
   Usaha lain yang telah dilaksanakan oleh Kememnterian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam merialisasikan usaha pencapaian matlamat rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara ialah dengan mewujudkan Sekolah Wawasan.  Sekolah Wawasan dapat ditakrifkan sebagai gabungan tiga buah sekolah rendah yang berlainan aliran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di dalam sebuah kawasan yang sama di mana mereka perlu berkongsi beberpa kemudahan fizikal di sekolah itu (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001).  Usaha ini amat selari dengan elemen yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan sebagainya.  Oleh itu, penubuhan Sekolah Wawasan ini memberi banyak manfaat kepada generasi Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan ia wajar diteruskan bagi menyatukan murid-murid daripada semua bangsa di dalam Negara dengan mengguna pakai satu peraturan pelajaran iaitu meggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa pengantar.
   Pada pandangan penulis, di Sekolah Wawasan, generasi muda yang berlainan bangsan dan agama dapat bergaul sama ada melalui aktiviti kurikulum ataupun aktiviti kokurikulum.  Pergaulan tersebut dapat membantu mereka memahami dan menghayati budaya masing-masing dan dengan itu dapat menghindarkan sikap berprasangka antara kaum sekaligus memupuk perpaduan rakyat sejak dari kecil lagi.  Maka, hasrat untuk merealisasikan intergrasi nasional dapat dilakukan sejak kanak-kanak lagi.  Di samping itu, Sekolah Wawasan dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak mereka kanak-kanak lagi.  Semangat ini muncul melalui pengalaman yang ditempuh oleh para pelajar. Dalam hal ini, para pelajarakan membesar bersama-sama selama enam tahun.  Selama tempoh itu, peluang untuk mereka bergaul, bekerjasama, dan sebagainya terbuka luas.  Begitu juga, mereka berkesempatan untuk mendepani segala permsalahan dan kekecewaan bersama-sama dan seterusnya mengenal hati budi masing-masing.  Melalui pengalaman unik tersebut, akan wujudlah semangat kekitaan dalam kalangan mereka dan seterusnya menyedarkan mereka bahawa negara ini adalah milik mereka bersama.Kesedaran itulah yang akan melahirkan semangat patriotik dalam kalangan mereka.  Tegaslah bahawa Sekolah Wawasan memberi kesempatan kepada setiap bangsa untuk lebih bertolak ansur, bertimbang-rasa dan bertoleransi dalam persaingan yang sihat dari aspek akademik.  Di samping itu, ia juga dapat memantapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan dapat melahirkan semangat permuafakatan yang lebih harmonis.

 KESIMPULAN
   Berdasarkan FPK, terdapat pelbagai usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti mewujudkan program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), Program Nilam, Program J-Qaf dan banyak lagi. Hal ini jelas membuktikan bahawa tujuan pendidikan bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti dengan memastikan bahawa setiap elemen yang terkandung dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan (FKP) dapat dicapai dengan jayanya melalui usaha-usaha yang dilakukan oleh KPM khusunya.

Disediakan oleh,
Nur Izni Farisya Binti Mohmad Yusof.
GPP 1063
PPISMP PA