WAJARKAH PENGIRAAN WANG HANTARAN DITAFSIR BERDASARKAN KELAYAKAN AKADEMIK PENGANTIN PEREMPUAN?
(= Perkahwinan itu adalah perkara
yang dituntut dalam agama Islam dan ia merupakan sebuah ikatan suci yang
menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan =)
Rasulullah bersabda:
"Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia
lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk
berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak
nafsu)" (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).
Namun!
Kebanyakan alasan yang diberikan untuk
menangguhkan perkahwinan adalah kerana faktor permintaan wang hantaran
yang terlalu tinggi, khususnya daripada rakyat Malaysia sendiri.
Apakah yang
dimaksudkan dengan wang hantaran?
Merujuk kepada Kamus Dewan edisi ke-4, wang hantaran
adalah wang yang dihantar oleh pihak pengantin lelaki kepada pihak pengantin
perempuan dalam perkahwinan.
Sebelum
membincangkan perkara ini, penulis ingin merangkan sedikit mengenai konsep wang
hantaran atau mahar dalam Islam.
Mahar: adalah harta atau manfaat yang wajib
ditunaikan oleh seorang lelaki kepada perempuan yang hendak dikahwininya.
Merujuk
kepada firman Allah yang bermaksud: "Berilah mas kahwin
(mahar) kepada wanita yang kamu nikahi sebagai pemberian dengan penuh
kerelaan." - (An-Nisa: 4). Rasulullah
pernah meminta seorang sahabat yang ingin berkahwin supaya membayar mahar
walaupun dengan sebentuk cincin besi dan tidak pernah berlaku dalam sebarang
perkahwinan itu berlangsung tanpa membayar mahar, sama ada oleh Rasulullah atau
sahabat. Berdasarkan ayat al-Quran, hadis dan apa yang berlaku pada zaman
Rasulullah inilah yang menjadi panduan buat kalangan ulama atau fuqaha
mengeluarkan fatwa bahawa mahar adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami
sebagai hak perempuan yang wajib ditunaikannya.
Manakala, wang hantaran pula: hanyalah tradisi atau adat yang telah
berakar umbi di dalam masyarakat di Negara Malaysia.
Sedangkan tidak ada satu
dalil pun di dalam Al-Quran mahu pun As-Sunnah yang menyatakan mesti
menyediakan pemberian wang hantaran untuk pengantin wanita. Jadi, perbelanjaan untuk menguruskan
perkahwinan itu tidak perlulah terlalu mengikut nafsu sehingga membawa kepada
pembaziran. Menguruskan perkahwinan juga boleh digunakan dengan prinsip berbelanja
mengikut kemampuan.
Meletakkan nilai hantaran yang tinggi sebagai tanda ukuran hebatnya seseorang gadis itu belum menjaminkan dirinya adalah terbaik untuk menjadi isteri yang solehah. Justeru itu, perbincangan yang baik perlu dijalankan secara berhemah antara pasangan agar “Baiti Jannati” atau rumah tangga yang bahagia dapat didirikan dengan sempurna di dunia yang sementara ini.
Pada 10 Ogos 2013 yang lalu, muka hadapan
akhbar Kosmo! memaparkan tajuk “ Ramai membujang lantaran hantaran mahal” di
muka hadapan akhbar tersebut kerana rungutan masyarakat mengenai hantaran
kahwin yang mahal mengikut kelayakan akademik bakal pengantin perempuan. Hal ini semacam menjadi trend dalam kalangan
masyarakat Melayu pada masa sekarang. Mereka lebih cenderung untuk meletakkan
nilai wang hantaran yang tinggi bagi lelaki yang ingin mengahwini anak gadis
mereka. Masyarakat Islam tidak
sepatutnya meletakkan nilai wang hantaran yang terlalu tinggi dengan mengikut kelayakkan akademik pasangan
perempuan sehingga kadangkala mencecah antara RM8,000 ke RM12,000
umpamanya. Sebenarnya, bagi penulis hal
ini tidaklah tepat dengan ajaran Islam dan kehendak Rasulullah kerana ini boleh
membebankan urusan perkahwinan, malah mungkin menyusahkan ramai pihak
terutamanya pihak bakal pengantin lelaki.
Maka, penulis sangat tidak bersetuju sekiranya pengiraan wang hantaran
dilaksanakan mengikut kelayakan akademik bakal pengantin perempuan kerana
pelaksanaan itu akan membawa kepada banyak impak negatif yang bukan sahaja
membantutkan hasrat pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga bahkan mendorong
kepada berlakunya gejala yang tidak baik dalam kalangan masyarakat Malaysia
pada masa kini.
Antara kesan negatif yang dikatakan tidak
wajar pengiraan wang hantaran mengikut kelayakkan bakal pengantin perempuan
dilaksanakan ialah lelaki yang hendak berkahwin
dengan wanita yang disukainya terpaksa melupakan hasrat atau menangguhkan hajat
kerana tidak berkemampuan untuk menyediakan wang hantaran yang
tinggi. Lelaki juga hanya dapat memendam
rasa kecewa. Oleh kerana itu, bakal suami terpaksa berhutang
semata-mata perbelanjaan hantaran kahwin yang terlalu tinggi dan terpaksa
menangguhkan lebih lama tempoh pernikahan
dek kerana belum lagi
mecukupi kadar jumlah hantarannya. Allah s.w.t tidak suka
setiap perkara yang melampaui batas.
Hal ini dapat dihayati dalam firmanNya:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
haramkan benda yang baik–baik
yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah kamu
melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu);
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
melampaui batas (Surah al-Maidah: ayat 87).
Lantaran itu juga berkemungkinan mendorong pihak lelaki membuat
pinjaman di bank bagi memenuhi hasrat keluarga bakal isterinya kerana jika
tidak melakukan tindakan sedemikian bunga yang diidamkan mungkin akan disambar
oleh kumbang lain. Akibat jelas yang penulis
dapat lihat hari ini, selepas berkahwin ramai yang menghadapi tekanan kewangan
sehinggakan gaji yang diterima setiap bulan tidak mampu menampung keperluan
rumah tangga kerana terpaksa membayar hutang sepanjang majlis perkahwinan yang
lepas. Kesannya, berlaku konflik
keluarga, penceraian dan perkara-perkara yang tidak diingini seperti yang kita
baca di muka depan surat khabar. Ini jelas membuktikan bahawa perlaksanaan wang
hantaran yang tinggi mengikut kelayakkan akademik tidak menjamin
keberlangsungan rumah tangga yang kekal lama.
Seterusnya, Perempuan
yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi akan susah untuk didekati oleh
mana-mana lelaki juga merupakan faktor negatif yang berlaku sekiranya
pelaksanaan pengiraan wang hantaran mengikut kelayakan akademik bakal pengantin
perempuan dijalankan. Hal ini akan menyebabkan jumlah anak dara tua (andartu)
di Malaysia semakin meningkat kerana walaupun pihak perempuan yang mempunyai
kelayakkan akademik yang tinggi itu tidak meletakkan nilai wang hantaran yang
tinggi sepertimana yang digambarkan, namun mentaliti masyarakat yang
membezakan-bezakan golongan berpendidikan dengan yang kurang berpendidikan
tetap tidak dapat dikikis dengan sepenuhnya. Agama Islam sama sekali tidak pernah mengajar
umatnya membeza-bezakan darjat seseorang itu berdasarkan pangkat, rupa dan
sebagainya apabila berbicara soal ibadah.
Hal ini nyata dijelaskan oleh Allah
s.w.t dalam firmanNya :
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah
ialah orang yang paling taqwa di antara kamu” (Surah al- Hujurat : ayat 13).
Apa yang boleh dikatakan dalam sikap suka membeza-bezakan nilai
hantaran mengikut tahap pendidikan ini adalah kerana ego dan riya’ yang menebal dalam
diri pihak keluarga pengantin perempuan. Islam memandang sikap ego dan
riya’ ini sebagai suatu perkara
yang mampu menggugat aqidah seseorang sehingga
pihak lelaki hanya ingin menikahi perempuan yang mempunyai tahap pencapaian
akademik yang tidak terlalu tinggi atau lebih parah lagi apabila golongan
perempuan yang memiliki kelulusan akademik yang tinggi juga sudah mula tidak
mahu memikirkan tentang perkahwinan dan sudah mula berputus asa untuk berkahwin
kerana mungkin calon suami pilihannya tidak mampu menyediakan wang hantaran
mengikut kadar yang ditetapkan berdasarkan kelayakan akademik yang dimiliki
olehnya.
Selanjutnya, Pasangan yang terlalu ingin
berkahwin juga mungkin akan memilih jalan untuk berkahwin lari sekiranya
pengiraan wang hantaran yang tinggi itu dilaksanakan. Menggunakan khidmatan agen nikah di Negara
seberang ukan perkara yang baharu dalam kalangan orang Islam di Negara Maaysia
yang mahu berkahwin lari. Cara ini dilihat sudah menjadi pilihan bagi pasangan
untuk memenuhi hasrat berkahwin dengan mudah selepas mendapat tentangan dan
halangan. Mengakui perkara itu, Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan
kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Noor Aziah Mohd.
Awal berkata, berdasarkan pemerhatian yang pernah dilakukan di sempadan Negara
mrndapati untuk mendapatkan khidmatn agen nikah hanya semudah berada di warung
kopi. Beliau juga yang merupakn Pengurusi Majlis Perunding Wanita Islam
Malaysia (MPWIM) berkata, dilihat meragukan, sama ada memperoleh kelulusan
daripada majlis agama tau sebaliknya, kumpulan ini menawarkan khidmat dengan
jaminan dapat menguruskan segalanya. Perkara ini telah mendorong rakyat
Malaysia yang terdesak untuk bekahwin melangsungkan perkahwinan dengan sangta
mudah namun, apa yang membimbangkan adalah kesannya bukan sahaja boleh
mengakibatkan penipuan serta enganiayaan terutamanya terhadap wanita, tetapi
lebih dikuatiri memporak-perandakan susur galur institusi kekeluagaan.
Selain itu, sebab penulis menolak perlaksaan
pengiraan wang hantaran mengikut kelayakan akademik ini adalah kerana trend ini
juga dikhuatiri akan menjadi semacam perniagaan yang memberi keuntungan kepada
pihak keluarga si gadis dan juga sebagai satu program “jual anak” yang
dilakukan oleh sebahagian keluarga gadis di negara ini. Sepatutnya wang
hantaran perlulah diletakkan nilainya secara munasabah dan rasional kerana bagi
kebanyakan graduan muda yang masih belum bekerja atau baru memulakan perkerjaan
agar dapat menunaikan hasrat untuk berkahwin. Fitnah akan berlaku kerana mereka
yang meletakkan hantaran yang tinggi akan terus dilabel sebagai menjual
anak. Budaya fitnah akan semakin berleluasa dalam kalangan rakyat sedangkan ia
amat berbahaya sepertimana sabda Rasulullah S.A.W dalam riwayat Bukhari dan
Muslim yang berbunyi,
“Tidak masuk Syurga pembawa fitnah.”
Dengan demikian,
menetapkan kadar wang hantaran yang tinggi
akan menyebabkan masyarakat bercakap-cakap dibelakang sehingga perkara
ini meniti dari bibir ke bibir dan seterusnya mencetuskan prasangka buruk
terhadap keluarga bakal pengantin perempuan dan menjurus kepada fitnah. Hal
seperti ini haruslah dielakkan bagi menjaga kesucian rumah tangga yang akan
dibina itu serta bagi mengelakkan daripada tercetusnya fitnah yang berleluasa
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Jelaslah, pelaksanaan pengiraan wang
hanataran mengikut kelayakan pengantin perempuan turut memberi kesan buruk terhadap
masyarakat.
Punca lain yang menyumbang sekiranya
pengiraan itu terlaksanalah ialah Sindiket nikah palsu semakin berleluasa. Sindiket nikah palsu berbeza dengan agen
nikah beraftar kerana sindiket tersebut lebih menawarkan perkhdmatan secara
terbuka seperti melalui penyebaran risalah dan laman sosial di samping promosi
di kawasan awam. Sindiket ini biasanya akan mendakwa mereka merupakan orang
yang layak dan mempunyai kerjasama darpada majlis agama untuk menikahkan orang,
sedangkan bila dikenalpasti kita tidak kenal sekalipun mereka itu. Sebenarnya,
tujuan mereka adalah untk mengaut keuntungan semata-mata oleh sebab itu
kebiasaannya meeka akan mengenakan caj yang keterlaluan atau lebih mahal
daripada yang ditetapkan oleh majlis agama. Menurut Timbalan Yang di_Pertua
Majlis Agama Islam Wilayah Phuket, Saad Naroyee dalam akhbar utusan Malaysia
yang bertarik 19 Februari 2015, ketka ditemui mengingatkan orang ramai supaya
berhati-hati dalam memilih agen untuk mengambil pekhidmatan nikah di Negara itu
kerana “Apa yang lebih dikhuatirinya adalah status jurunikah, wali dan saksi
yang digunakan. Dokumen nikah yang dikeluarkan oleh sindiket ini juga didapati
palsu dan tidak sah,” katanya.
Dalam konteks pihak perempuan meminta wang
hantaran yang tinggi dan dalam masa yang sama pihak lelaki mempunyai kemampuan,
hal memanglah tidak dihalang oleh syarak kerana perbincangan syarak dalam isu
ini adalah ‘tidak membebankan’ urusan perkahwinan. Namun begitu, sekiranya
pelaksanaan pengiraan wang hantaran mengikut kelayakan akademik terus
dijalankan dengan tujuan menunjuk-nunjuk atau ingin dipandang tinggi akan
membawa kepada banyak kesan negatif seperti pihak lelaki terpaksa menagguhkan
hasratnya kerana mungkin kekurangkan wang malahan pihak lelaki juga mungkin
terpaksa membuat pinjaman dan yang lebih malang, bayaran pinjaman belum habis
dibayar, isteri sudah minta cerai.
(Utusan Malaysia melaporkan statistik perceraian yang meningkat dan dan
20 peratus yang bercerai baru berkahwin lima tahun.) Budaya fitnah dan berprasangka dalam kalangan
masyarakat juga semakin berleluasa dengan pelaksanaan tersebut kerana akan ada
dalam kalangan mereka dan suka bercakap-cakap dibelakang. Ternyata dengan
pelaksanaan pengiraan wang hantaran berdasar kelayakan akademik pengantin
perempuan sangat menyumbang kepada impak yang buruk buat individu, masyarakat
dan negara. Perkahwinan sepatutnya
dipermudahkan bagi memperluas dan mengeratkan silaturahim sesama manusia itu
sendiri tetapi hubungan silaturahim ini pasti tidak akan terjalin sekiranya
kedua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan masih bermasam muka akibat
daripada tidak setuju dengan isu nilai wang hantaran malah ada yang tidak dapat
meneruskan niat perkahwinan kerana merasakan tidak mampu untuk menanggung beban
nilai perbelanjaan hantaran perkahwinan yang tinggi. Oleh itu, pengiraan ini adalah tidak wajar
dilaksanakan sama sekali bagi menjamin kebahagiaan dan kebaikan individu,
masyarakat dan negara.
Disediakan oleh:
Nur Izni Farisya Binti Mohmad Yusof.
GWP 1092
Ulasan
Catat Ulasan
Hi!
Cube la comment,seket pun jadi la -__-